Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB
KUANTAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan sebanyak RM3.05 juta bagi membeli 50 buah bot untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya bagi kegunaan pasukan itu dalam berhadapan bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dengan adanya aset dan keperluan tersebut membuktikan pasukan beruniform tersebut bersedia dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Bencana banjir adalah sesuatu yang telah kita anggap fokus paling utama yang perlu diberikan pada waktu ini berikutan seluruh dunia juga telah mengalami perubahan fenomena cuaca menyebabkan kita perlu belajar daripada apa yang berlaku walaupun kita sudah faham cara untuk menghadapi bencana dan banjir.
“Dengan itu, sebagai permulaan hari ini kita sudah memperoleh tujuh bot jenis Whally pelbagai saiz yang begitu lasak dan sesuai digunakan dalam operasi keselamatan serta menyelamat mangsa banjir untuk tempoh terdekat ini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini hari ini.
Tambahnya, pada masa ini, masih berbaki 43 bot lagi yang dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu lagi untuk diserahkan kepada negeri yang memerlukan.
Dalam pada itu Hamzah berkata, penyerahan bot tersebut bukan susuatu yang terlewat namun ia sebagai tambahan aset yang tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena banjir yang luar biasa.
“Ingin saya maklumkan, kita bukan tidak ada aset cuma tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena baharu.
“Tambahan pula, kita bukan agensi penyelamat, kita hanya barisan hadapan yang tampil membantu lebih awal untuk memaklumkan kepada mereka (mangsa) tentang bencana.
“Sebagai contoh anggota polis perlu memaklumkan kepada mereka yang berada di kawasan banjir untuk keluar namun apabila air naik setinggi empat kaki, kita sendiri pun sukar untuk masuk, jadi bot-bot ini akan digunakan untuk memberi bantuan awal sementara menunggu kehadiran pasukan penyelamat daripada agensi lain,” katanya. – K! ONLINE