fbpx

Fantasi dan realiti teknologi 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KERAJAAN pada akhir tahun lalu telah melancarkan rangkaian 5G Malaysia yang tersedia untuk penduduk di Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

Tahniah kita ucapkan di atas usaha merealisasikan perkhidmatan lebuh raya digital bertaraf super walaupun ada laporan menyatakan negara agak tertinggal di belakang berbanding negara-negara jiran yang lain.

Kata orang, biarlah lambat sedikit daripada langsung tidak memulakan apa-apa. Dalam dunia teknologi yang begitu pantas berkembang, siapa yang bijak dan paling pantas meneroka masa depan dialah pemenang.

Untuk pengetahuan, dalam keadaan kita baru hendak menguji rangkaian 5G negara, China beberapa hari lalu dilaporkan telah pun melancarkan satelit bagi memulakan rangkaian 6G yang dikatakan 20 kali lebih pantas daripada 5G. Malah, sasaran mereka 100 kali lebih pantas!

Begitulah realiti suasana perlumbaan teknologi dunia hari ini ketika kita masih terkial-kial mahu menukar sistem bayaran tol di lebuh raya kepada sistem terkini RFID (Radio Frequency Identification).

Sedar tidak sedar kita menunggu hampir 25 tahun untuk berubah daripada penggunaan kad Touch ‘n Go yang akhir-akhir ini masih ada yang ‘touch but cannot go’ disebabkan ‘baki tidak mencukupi’. Itulah orang kita!

Berbalik kepada 5G, penulis amat berharap dalam keghairahan kita menyediakan lebuh raya digital super ini, jangan dilupakan banyak lagi kawasan yang langsung tidak menerima apa-apa liputan meskipun pada keupayaan rangkaian 1G apa lagi 3G.

Tinjaulah semula bagaimana keadaan penduduk Kampung Linting di Kota Tinggi; Kampung Bemban di Tenom; Kampung Permatang Kerat Telunjuk di Bandar Baharu dan banyak lagi yang tidak mungkin dapat disenaraikan di sini.

Sayang sekali, akibat syarikat telekomunikasi yang terlalu mengejar keuntungan, maka kurang mengambil kira keperluan rakyat yang tinggal di pedalaman sedangkan mereka juga memerlukan perkhidmatan asas itu untuk keperluan harian khususnya ketika berlangsungnya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah akibat pandemik.

Oleh itu, dalam menyediakan prasarana dan ekosistem 5G yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus penduduk menjelang 2024 kita amat berharap ketika itu tiada lagi berita anak-anak mendaki bukit dan memanjat pokok untuk mendapat sambungan internet.

Biarlah dalam kita menjulang kejayaan dan kemajuan tiada pihak yang berasa mereka terpinggir dan tersisih. Ibarat jika laba sama dibagi, jika rugi sama diterjuni. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI