fbpx

Dua lelaki curi kabel PLUS dicekup anjing K9

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Majid (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pemegang K9 ‘Spunth’, Lans Koperal Kennedy Charles di IPK Melaka, di sini, hari ini.

MELAKA – Tindakan dua lelaki melarikan diri sejauh 500 meter dan menyorok di dalam semak bagi mengelak dicukup polis selepas cuba melarikan kabel milik  PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tidak berhasil apabila kedudukan mereka berjaya dihidu Unit Anjing Pengesan (K9).

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 37 dan 42 tahun itu diberkas polis di dalam semak di Kilometer 174.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) pada 9 Januari lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil siasatan awal, suspek dipercayai telah melakukan kegiatan mencuri kabel ETS (Sistem Telefon Kecemasan) PLUS itu selama dua tahun sebelum ditahan.

Katanya, suspek ditahan pada pukul 1.47 pagi selepas polis menerima laporan daripada anggota polis bantuan PLUS mengenai tindakan mencurigakan dua lelaki di bahu jalan dan cuba melarikan diri.

“Pengadu kemudian membuat pemeriksaan di lokasi berhampiran dan mendapati beberapa gulung kabel ETS telah dipotong.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan dibantu anjing K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen telah berjaya menjejaki suspek yang bersembunyi di dalam semak,” katanyan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengurus Seksyen Simpang Ampat-Pagoh PLUS, Mahadzir Masod.

Tambahnya, kedua-dua suspek menyasarkan kabel ETS di sepanjang lebuh raya di kawasan Tangkak, Johor ke Jasin membabitkan 20 buah telefon kecemasan.

“Kita anggarkan nilai kabel ETS yang dipotong adalah kira-kira RM40,000 dan kita sedang mengesan pembeli atau pasaran kabel berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mahadzir berkata, suspek telah memotong kabel dan menyimpannya di dalam ruang penyambungan dan penyelenggaraan kabel.

“Tindakan suspek ini telah menyukarkan ramai pengguna jalan raya yang ingin mendapatkan bantuan PLUS sekiranya berlaku sesuatu insiden dan kita memandang serius jenayah ini,” katanya.

Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI