SHAH ALAM – Seramai 250,000 pemandu MyCar Asia (MyCar) akan dilindungi insurans di bawah program Perlindungan Insurans Tenang.
Ini susulan memorandum persefahaman (MoU) dilakukan antara MyCar dengan AmCare Agency.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen berkata, langkah ini bagi memastikan kebajikan kesemua pemandu semasa bekerja menerusi aplikasi tersebut.
“Saya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakan pemandu MyCar dengan saya sendiri setiap hari menggunakan perkhidmatan MyCar bagi mendengar sendiri luahan rakan pemandu.
“Mengambil kira luahan mereka, maka termeterainya jalinan kerjasama di antara kami dengan AmCare Agency,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Noor Sheena menandantangani MoU berkenaan bersama Pengerusi Amcare Agency, Tan Sri Abdullah Taib.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmCare Agency, Datuk Mohamad Zahari Harun berkata, pihaknya bersetuju menjalankan ujian pemeriksaan kesihatan percuma kepada pemandu MyCar.
“Selain itu sebagai permulaan, 250,000 pemandu MyCar akan dilindungi insurans di bawah program Perlindungan Insurans Tenang.
“Kita juga akan memberi perlindungan kepada pemandu sekiranya terdapat kes undang-undang melibatkan mereka dengan pelanggan MyCar,” jelasnya. – K! ONLINE