PETALING JAYA – Selepas Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, pelakon kelahiran Indonesia, Tya Arifin, melahirkan rasa teruja apabila berpeluang bertemu serta menjamu selera semeja dengan jutawan tanah air terkenal, Tan Sri Vincent Tan baru-baru ini.
Peluang keemasan tersebut diraih Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin bersama suami Asyraf Khalid pada majlis makan malam sempena meraikan hari ulang tahun kelahiran ke-43 ibu mentua tirinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 12 Januari lalu.
“Selain kegembiraan meraikan ulang tahun Mak Iti (Siti Nurhaliza), saya juga teruja kerana diberi kesempatan makan malam dan berbual dengan Tan Sri Vincent Tan. Beliau seorang tokoh bisnes yang berjaya di Malaysia dan amat saya kagumi.
“Sememangnya hari tersebut merupakan momen berharga ditambah pula dapat duduk bersebelahan dan beliau sempat berkongsi kunci kejayaan yang dipegangnya sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dia yang juga seorang pelakon di bumi kelahirannya turut mempunyai visi yang tinggi dan keinginan mencapai kecemerlangan hebat dalam bisnes seperti pengasas Berjaya Corporation Berhad itu.
“Jadi, inilah dua nasihat yang Tya akan pegang daripadanya ialah gigih dan jangan pernah mengalah.
“Itu yang beliau terapkan dalam hidup selama bertahun-tahun sepanjang perjalanan usahanya membawa masuk pelbagai jenama ke Malaysia,” katanya lagi.
Tya turut memaklumkan, dia juga bersyukur dan gembira di atas segala nasihat dan kata-kata semangat diberikan oleh Vincent yang merupakan antara tetamu jemputan bagi meraikan hari kelahiran pelantun Bukan Cinta Biasa tempoh hari.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikut Instagramnya meninggalkan komen positif dan rasa teruja dengan semangatnya dalam usaha membantu orang lain berjaya seterusnya memiliki kehidupan yang lebih baik.
Difahamkan, Tya yang juga pemilik Mutyara Beauty sehingga kini sudah berjaya melahirkan lebih 30,000 usahawan di bawah syarikatnya dan sekarang mensasarkan jumlah baharu iaitu 100,000 orang pada tahun ini.
Baru empat tahun bertapak dalam dunia bisnes, Tya juga dikhabarkan sudah berjaya melahirkan jutawan sulung Mutyara pada November tahun lalu.
Sebelum ini, dia juga dikatakan sangat aktif bertemu usahawan bimbingan syarikatnya menerusi program ‘Road Tour Mutyara’ di seluruh negara.
Untuk rekod, Tya mendirikan rumah tangga dengan Asyraf Khalid yang juga seorang ahli perniagaan pada 1 November 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Arif Jiwa, 5, dan Azzahra Jiwa kini berusia tiga tahun. – K! ONLINE