MUAR – Sebuah keluarga terpaksa ‘menumpangkan’ ibu mereka yang menghidap kencing manis, sakit jantung, buah pinggang serta darah tinggi di Hospital Muar ketika banjir baru-baru ini.
Seorang mangsa banjir, Zaiton Samsudin, 38, berkata, ibunya, Raemah Mohd. Tob, 70, juga perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
“Ibu saya menghidap kencing manis, sakit jantung, buah pinggang serta darah tinggi. Jadi semasa awal banjir, saya dan adik lelaki menguruskan ibu terlebih dahulu.
“Kalau ibu tinggal di PPS, susah nak buat rawatan. Jadi kami minta jasa baik hospital untuk menumpangkan ibu di sana supaya dia dapat menjalani rawatan dialisis secara teratur,” katanya ketika ditemui di Bukit Kepong, di sini semalam.
Katanya, dengan menaiki ambulans, ibunya selamat di bawa ke hospital dan mereka yang lain ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kepong.
“Air naik secara perlahan-lahan pada mulanya, namun selepas itu naik mendadak membuatkan kami sekeluarga tidak sempat selamatkan kesemua barangan di dalam rumah.
“Apa yang penting, ibu selamat dibawa ke hospital terlebih dahulu. Selepas itu baru kami mengemas barang sebelum rumah dimasuki air,” katanya.
Zaiton turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan Skuad Prihatin dan semua yang membantu membersihkan rumah keluarganya serta menghulurkan bantuan sejak dari awal bencana ini melanda.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sebarang bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Zaiton di talian 013-749 4957. -K! ONLINE