LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menganggap Arsenal berada lebih ke hadapan dalam usaha untuk kembali ke kelompok elit Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding pasukannya menjelang pertemuan derbi Utara London awal pagi esok.
Sejak dilantik menggantikan tempat Nuno Espirito Santo pada November lalu, Conte sedang berusaha memastikan Spurs berjaya menduduki kelompok empat terbaik buat kali pertama sejak 2019.
Situasi kedua-dua pasukan dilihat hampir sama kerana Arsenal juga gagal menempatkan diri ke pentas Liga Juara-Juara sejak lima tahun lalu tetapi mereka ketika ini dilihat berada pada prestasi terbaik.
Peningkatan Arsenal hadir selepas membeli lima pemain baharu pada musim panas lalu dan Conte juga mengharapkan mereka mampu melakukannya dalam sesi perpindahan kali ini.
“Arsenal mula bekerja dan membina sesuatu. Mereka memiliki lebih banyak masa dan Mikel Arteta juga berpeluang bekerja bersama pemainnya untuk tempoh beberapa tahun lagi.
“Ketika ini mereka sudah pun melakukan tugas dengan cukup baik. Mungkin disebabkan ini, Arsenal ke hadapan berbanding kami kerana mereka dapat bersama jurulatih lebih awal.
“Sekarang mereka memperoleh keputusan yang baik. Untuk bermain menentang mereka, kami perlu faham dan sedar sejauh mana peningkatan yang sudah dilakukan pasukan sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Spurs dipisahkan dua mata sahaja dengan Arsenal yang berada di tempat kelima, tetapi berpeluang memintas lawan itu kerana mereka memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan. –AGENSI