KLANG – Tiada sebarang bukti dalam pendekatan kesihatan awam dalam dunia menyatakan jangkitan terhadap varian Omicron boleh meningkatkan imuniti dalam masyarakat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masyarakat diingatkan agar tidak sengaja mendapatkan Covid-19 tidak kira sama ada adalah varian Omicron, Alpha, Delta dan Beta.
“Sebab pertama, kita tidak tahu kesan Covid-19 kepada orang yang dapat Covid-19.
“Kedua adalah kesan jangka panjang terhadap Covid-19 itu. Hari ini mungkin kata Omicron (kesan) mild (sederhana) berbanding delta.
“Jadi kenapa tidak kita dijangkiti Omicron dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Tidak terbukti lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan inisiatif mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar ‘Go-NGO’ Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Pandamaran di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar luar negara berhubung
satu kajian yang dijalankan di Afrika Selatan mendapati bahawa jangkitan terhadap varian Omicron boleh meningkatkan kekebalan komuniti.
Jelas Khairy Jamaluddin, pihaknya terus menasihatkan orang ramai agar mendapatkan dos penggalak bagi meningkatkan imun kesihatan seseorang.
“Jangan menggunakan hujahan (kajian Afrika Selatan) itu untuk tidak mengambil dos penggalak,” tegasnya. -K!ONLINE