PETALING JAYA – Tindakan seorang penjenayah menyamun seorang wanita warga asing dengan bersenjatakan pisau di Seksyen 4 dekat sini mengundang padah selepas dia ditahan polis semalam.
Mangsa yang berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah turut mengalami kecederaan pada bahagian pergelangan tangan kiri akibat ditoreh suspek dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital sekitar Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan risikan, suspek telah ditahan pada hari yang sama kira-kira pukul 10.30 malam.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menahan suspek berusia 32 tahun di kawasan parkir, Taman Sri Manja di sini.
“Suspek juga telah bertindak agresif ketika proses tangkapan dilakukan termasuk cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, semakan rekod mendapati, suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan lima kes bersabit dadah.
“Suspek juga mengaku telah melakukan jenayah samun terhadap mangsa namun tidak sempat melarikan barangan milik mangsa kerana diperhatikan orang awam.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan telah ditahan reman selama enam hari. Polis turut merampas beberapa barangan seperti sebuah telefon jenama Sony dan sebuah motosikal jenis Honda Ex5 yang dilaporkan hilang,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. – K! ONLINE.