PASUKAN yang bertanding pada Liga M3 bagi musim 2022 tidak dibenarkan mengambil pemain import kerana Liga Amatur Malaysia (AFL) enggan ada masalah berbangkit yang akan timbul pada masa akan datang.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat memandangkan saingan divisyen tiga bola sepak negara baru ‘dihidupkan’ semua selepas dua tahun dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
“Bagi saingan tahun ini, kami tidak benarkan pasukan Liga M3 mengambil pemain import kerana enggan banyak masalah timbul dan hanya pemain tempatan sahaja yang dibenarkan beraksi.
“AFL juga berharap tiada lagi masalah gaji timbul melibatkan kesemua 20 pasukan yang bertanding bagi saingan musim ini,” katanya pada Majlis Undian Liga M3 yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.
Sebagai rekod, saingan Liga M3 akan membuka tirai rasmi pada 11 Februari depan sehingga 3 September depan dengan 20 pasukan bertaraf semi-pro telah diundi ke dalam dua kumpulan.
Yusoff turut mengesahkan, antara tarikan saingan Liga M3 musim ini adalah peningkatan ganjaran dengan juara bakal menerima wang tunai RM100,000.
“Sebelum ini hadiah saingan RM30,000. Namun, musim ini kita tingkatkan kepada RM100,000 kepada pemenang, manakala naib juara menerima RM50,000.
“Keputusan ini dibuat bagi memberi suntikan semangat agar pasukan bertanding dengan lebih serius pada kempen kali ini,” kata Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM.
Pada undian semalam, saingan Kumpulan A adalah Sains FC, Malaysia University. FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Imigresen FC, Manjung City FC, Ultimate FC, Tun Razak City FC, Langkawi City FC dan Armed Forces FC.
Sementara itu, pasukan Perlis United FC, Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, KL Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC, Real Chukai FC pula bersaing dalam Kumpulan B.