fbpx

Mesin oksigen ibarat ‘nyawa’ buat Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNUR SYAKIRAH bersama Muhammad Rayyan (kanan) yang bergantung hidup dengan mesin oksigen ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Gelanggang, Kuala Nerang semalam.

KUALA NERANG – Ketika kanak-kanak seusianya aktif bermain, Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid, 8, pula banyak menghabiskan masanya di rumah kerana menghidap pelbagai penyakit kronik sejak dilahirkan.

Muhammad Rayyan Mikail mengalami masalah saluran oksigen sempit, jantung berlubang, injap serta saluran darah terbalik dan bocor selain keadaan paru-paru yang telah rosak.

Ibunya, Annur Syakirah Mahazir, 25, berkata, keadaan itu menyebabkan anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa bergantung hidup dengan mesin oksigen.

“Ketika dalam kandungan, doktor tidak mengesan sebarang masalah, namun setelah Rayyan lahir, penyakit kuning menjadi teruk selain bibir bertukar hitam.

“Saya dan suami membawa Rayyan ke Hospital Kuala Nerang dan dimaklumkan terkena jangkitan kuman. Doktor kemudian merujuk kes anak saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” katanya di Kampung Padang Gelanggang di sini semalam.

Annur Syakirah berkata, anaknya itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dari berusia tiga bulan hingga tujuh bulan.

“Rayyan juga pernah dibawa ke Institut Jantung Negara selama dua minggu untuk melakukan pembedahan pada saluran oksigen yang sempit sebelum ditempatkan di wad biasa di HSB selama tiga bulan,” ujarnya.

Katanya, dia dan suami, Mohd. Yazid Lazim, 30, yang buta sebelah mata turut menjaga dua lagi anak perempuan iaitu Nur Raisha Mikayla, 5, dan Nur Raihana Malaika yang berusia tujuh bulan selain ibu mertuanya, Rohani Bakar, 68.

“Rayyan mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Terap tahun lalu dan ditempatkan dalam pendidikan khas.

“Jika ke sekolah, alat pernafasan akan dibuka dan Rayyan boleh bertahan antara lima hingga enam jam. Jika keadaannya teruk di sekolah, cikgu akan hubungi kami,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bergantung dengan pendapatan suami yang bekerja kampung selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bulanan sebanyak RM500.

“Suami buat kerja-kerja kampung seperti menebas, mesin rumput atau membersihkan masjid. Kalau ada orang panggil, dapat juga dua hingga tiga kerja dengan upah kira-kira RM100 sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubu­ngi Annur Syakirah di talian 013-861 0858. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI