MELAKA – Mayat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel ditemui terapung di Sungai Melaka di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat yang identitinya belum dikenalpasti itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 7.15 pagi.
Katanya, saksi yang terkejut kemudian menelefon pihak polis dan bomba bagi memaklumkan kejadian tersebut.
“Satu mayat lelaki telah ditemui terapung di Sungai Melaka dalam keadaan hanya memakai baju.
“Mayat telah dibawa naik oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, ketika dibawa naik ke kaki lima, mulut si mati juga didapati berbuih. -K! ONLINE