MADINAH – Majlis berbuka puasa beramai-ramai semasa bulan Ramadan di Masjid Nabawi akan dilaksanakan kembali pada 2022, selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Menurut Badan Pengurusan Masjid Nabawi, majlis tahunan itu akan bermula semula pada Ramadan akan datang iaitu bulan April ini.
Wakil pengurusan memberi jaminan penyambungan semula jamuan berbuka puasa di Masjid Nabawi akan dilaksanakan mengikut protokol kesihatan yang ketat bagi membendung penularan Covid-19.
Hanya mereka yang diberi lesen untuk menyebarkan iftar sofra (hamparan di mana makanan diletakkan) akan dibenarkan berbuat demikian di tempat yang telah ditetapkan sebelum ini.
Jumlah sebenar jemaah yang dibenarkan di setiap sofra akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas pihak pengurusan meninjau situasi pandemik.
Pengurusan masjid turut menegaskan bahawa penyedia juadah berbuka puasa perlu membuat kontrak dengan syarikat katering yang diluluskan untuk menyediakan makanan.
“Penjarakan fizikal juga akan diterapkan bagi mengatur kedudukan jemaah berbuka puasa dengan hanya lima orang bagi satu hamparan berbanding 12 orang jika dalam keadaan biasa,” demikian menurut kenyataan pihak pengurusan. – Agensi