MELAKA – Seorang lelaki sempat menjerit meminta tolong sebelum dia lemas dibawa arus di Sungai Malim, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat mangsa yang belum dikenalpasti identiti itu ditemui pada pukul 10.30 pagi oleh pasukan bomba.
Katanya, terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut dan mendakwa mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dibawa arus.
“Ketika kejadian saksi tersebut sedang memancing dan ternampak si mati berjalan turun ke tebing sungai tersebut.
“Mangsa bagaimanapun dipercayai tergelincir dan sempat menjerit meminta tolong sambil tangan terkapai-kapai sebelum tenggelam dibawa arus” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saksi tersebut kemudian membuat panggilan kecemasan kes orang hanyut pada pukul 8.20 pagi.
“Soal siasat dilakukan, dia (saksi) tidak pasti mengapa si mati turun ke tebing sungai, namun sebelum kejadian mangsa dilihat bermundar-mandir di kawasan tersebut.
“Mayat mangsa yang dipercayai berusia 30-an telah ditemui pasukan bomba pada kira-kira 15 meter dari tebing sungai,” katanya. -K! ONLINE