KUALA NERANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah serta kemudahan lain yang terjejas akibat bencana banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk baik pulih dan bina rumah baharu menerusi inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.
“Sebanyak RM50 juta juga akan digunakan untuk membaiki jalan-jalan kampung atau jalan perhubungan desa yang rosak dalam bencana itu.
“Seterusnya lagi RM50 juta diperuntukkan untuk membaiki ameniti sosial seperti bangunan surau dan masjid yang terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka dekat sini hari ini.
Kata beliau, mengikut rekod sehingga 9 Januari lalu, sebanyak 1,879 rumah yang akan dibaik pulih manakala 165 rumah akan dibina baharu melibatkan kos sebanyak RM38.5 juta. – K! ONLINE