KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada negeri Kelantan untuk tahun 2020 dan 2021.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran itu masing-masing melibatkan RM200 juta untuk tahun 2020 manakala jumlah sama bagi tahun lalu.
Menurutnya, pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri berdasarkan lima peratus pengeluaran medan hasil petroleum yang berdekatan Kelantan.
“Jumlah pembayaran yang disalurkan kali ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.
“Pembayaran itu 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Bajet 2022 Bersama Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Sebelum ini, media melaporkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan. -K! ONLINE