NEW DELHI – Berpuluh-puluh ribu penganut agama Hindu memilih untuk berkumpul beramai-ramai sempena Festival Makar Sankranti ketika India berdepan dengan gelombang baharu Covid-19, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Perayaan itu diadakan di tebing Sungai Ganga, dekat bandar Prayagraj dan menyaksikan penganut Hindu mengambil kesempatan mandi di sungai itu yang dipercayai mampu menyucikan semua dosa mereka.
Ini bukan kali pertama penduduk tempatan berhimpun beramai-ramai semasa pandemik apabila festival sama menyumbang kepada gelombang kedua Covid-19 pada tahun lalu sehinggakan negara itu diibaratkan dilanda Tsunami Covid.
Meskipun menyedari bahaya tersebut, pihak berkuasa keagamaan di negeri Uttar Pradesh berkeras untuk meneruskan acara sama tahun ini.
Rakaman sebuah stesen televisyen kelmarin menunjukkan orang ramai berkumpul di tebing sungai sambil berdoa tanpa mematuhi peraturan penjarakan fizikal.
Saluran berita Hindi ABP melaporkan bahawa lebih 70 peratus pengunjung festival kegamaan itu tidak memakai pelitup muka.
Sebuah khemah besar telah didirikan di tebing Sungai Ganga sejak beberapa hari lalu untuk menempatkan penganut yang datang dari seluruh India, manakala lebih 5,000 anggota polis dikerah untuk menguruskan orang ramai.
Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath telah merayu kepada orang ramai supaya mematuhi semua protokol Covid-19 sepanjang festival itu berlangsung.
Seorang pegawai kanan polis, Rajeev Narayan Mishra berkata, sekurang-kurangnya 38 anggota polis yang bertugas telah disahkan positif Covid-19 sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa festival itu akan bertukar menjadi lubuk jangkitan dalam masa beberapa hari akan datang.
Tahun ini, pihak berkuasa di Uttarakhand telah melarang mana-mana peserta festival daripada berenang di sungai semasa perayaan. – Agensi