LONDON – Eropah berada paling hampir dengan konflik bersenjata sejak 30 tahun lalu berikutan ketegangan yang makin memuncak berhubung krisis Ukraine, kata beberapa diplomat kanan seperti laporan akhbar The Sun kelmarin.
Seorang pakar berkata, Amerika Syarikat (AS) perlu bersiap sedia berdepan kemungkinan situasi menjadi lebih buruk selepas Rusia mengumpulkan lebih 100 ribu askarnya dekat sempadan Ukraine.
“Kita berdepan dengan krisis keselamatan di Eropah.
“Gendang perang berbunyi kuat dan retorik perang semakin mengancam,” kata Duta AS ke Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), Michael Carpenter dalam taklimat akhbar Khamis lalu.
Seorang pegawai kanan Poland iaitu negara yang bersempadan dengan Ukraine dan Rusia, memberi amaran bahawa kebimbangan Perang Dunia Ketiga tercetus makin meningkat ketika situasi tegang di Georgia, Armenia, Moldova dan Ukraine.
“Risiko perang di rantau OSCE kini lebih besar berbanding sejak 30 tahun lalu. Selama beberapa minggu kita berdepan prospek krisis ketenteraan besar di Eropah Timur.
“Kita perlu fokus kepada penyelesaian damai konflik di Ukraine dan rantau sekitarnya,” Menteri Luar Poland, Zbigniew Rau.
Sementara itu, lebih 100,00 ribu askar Rusia telah dikerah ke sempadannya dengan Ukraine, manakala pertempuran berasingan melibatkan kumpulan pemisah disokong oleh Moscow menjadi bertambah sengit.
Perkembangan itu berlaku ketika rundingan antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) gagal menyelesaikan krisis Ukraine yang mengancam mengheret negara-negara jiran ke kancah konflik.
“Di sebalik perbincangan selama empat jam, jurang perbezaan masih besar ,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.
Beliau turut memberi amaran bahawa Rusia akan menerima padah sekiranya menyerang Ukraine.
Pada Rabu lepas, Stoltenberg memberi amaran bahawa NATO sedang melakukan persiapan untuk menghadapi risiko perang sebenar yang baharu di Eropah. – Agensi