fbpx

Gagal seludup 1.03 tan daun ketum ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daun ketum ditemui di dalam ruang khas bot fiber yang ditahan APMM di perairan Kuala Kedah pada pagi semalam.

ALOR SETAR – Taktik penyeludup daun ketum mengendalikan bot fiber dalam keadaan bergelap gagal apabila kegiatan mereka itu dikesan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kedah di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 6.45 pagi itu, APMM menemui sebanyak 1.03 tan daun ketum bernilai RM185,400 disembunyikan di dalam ruang khas bot yang telah diubah suai.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan
memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bot fiber berkenaan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 103 bungkusan plastik mengandungi daun ketum dengan berat kira-kira 1.03 tan.

“Kesemua daun ketum, bot beserta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400 dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan
ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI