fbpx

Tiga beranak berteduh dalam stor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Zaid menunjukkan stor yang dijadikan tempat tinggal sementara keluarganya di Simpang 5, Mukim 2 Bagan, Batu Pahat baru-baru ini.

BATU PAHAT – Tiga beranak yang tinggal di Jalan Baru, Simpang 5, Mukim 2 Bagan di sini, terpaksa menjadikan stor belakang rumah sebagai tempat ber­teduh sejak seminggu lalu apabila rumah pusaka berusia 44 tahun hangus dalam kebakaran, Ahad lalu.

Mohamad Zaid Rozlan, 34, berkata, dalam kejadian pukul 3.05 petang itu, api marak de­ngan cepat sehingga memusnahkan rumah separuh kekal yang didiami bapanya, Rozlan Sahid, 75; ibu, Rohani Adam, 64, serta adiknya, Mohd. Zahir, 24.

“Ketika kejadian, hanya ada adik saya di rumah. Ayah dan ibu dalam perjalanan dari Perak ke Batu Pahat selepas melawat kenalan yang sakit di sana.

“Adik sedang bersantai di luar beranda rumah dan apabila me­langkah masuk ke dalam rumah, dia terkejut apabila ternampak api.

“Dalam keadaan panik, dia hanya sempat mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat yang selamat serta mencapai telefon untuk menghubungi talian kecemasan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohamad Zaid berkata, kesemua dokumen penting termasuk geran tanah, geran kereta dan motosikal, peralatan rumah mahupun pakaian tidak dapat di­selamatkan kerana api merebak terlalu pantas.

“Sebagai anak, sudah tentu kami adik-beradik amat sedih dengan kejadian yang tak terduga ini. Rumah kami terselamat daripada musibah banjir, tapi musnah dijilat api pula,” katanya.

Ujarnya, keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang di stor sementara yang terletak di belakang rumah yang terbakar itu pada waktu siang dan me­numpang di rumah adiknya se­belah malam di kampung sama.

Orang ramai boleh me­nyalurkan bantuan menerusi Tabung Bantuan Kebakaran Keluarga Roz­lan melalui akaun 151427074984 (Maybank Mohamad Zaid) atau menghubungi talian 012-7140607 atau 017-7044694.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI