fbpx

Simpan lebihan duit sawit untuk haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Darulsalam dan isteri melihat buku ibadah haji sebagai persiapan menunaikan haji kelak ketika ditemui semalam.

TAMPIN – “Duit jualan sawit ini kami mahu guna tunaikan haji dan simpan untuk hari-hari tua.”

Demikian kata seorang pe­neroka di Felda Jelai 3, Mohd. Darulsalam Md. Amin, 70, yang kini memperolehi pendapatan mencecah RM7,000 sebulan berbanding sekitar RM2,500 sebelum harga sawit naik.

Jelasnya, disebabkan kos me­ngerjakan haji mungkin akan naik kerana pandemik Co­vid-19, dia dan isteri bersyukur diberikan rezeki melalui harga sawit yang tinggi itu.

“Sungguhpun harga naik dan pandapatan kami pun bertambah kami tetap beringat kerana harga komoditi itu sentiasa berubah-ubah dan biasanya tidak kekal lama,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelai 3 di sini semalam.

Tambah Mohd. Darulsalam, dia dan keluarga sentiasa beringat-ingat dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan serta lebih suka untuk berjimat-cermat.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Sawit Felda Jelai 3, Mohamad Abu, 67, pula berkata, seramai 133 pengusaha felda di situ mengusahakan hasil kebun sawit sendiri bergantung kepada keluasan tanah.

“Ada peserta yang rajin de­ngan setiap hari turun ke kebun mampu mencecah hasil seba­nyak 10 tan sebulan iaitu bersamaan dengan pendapatan lebih RM10,000.

“Semua kebun peneroka sekitar 4 hektar seorang. Rata-rata peneroka kat sini sudah berusia dan boleh dikatakan semuanya berhajat untuk menunaikan haji dengan pendapatan yang dapat itu,” jelasnya.

Menurutnya yang masih menanti panggilan menunaikan haji setelah lapan kali kursus haji bersama isteri, pada waktu ini ramai peneroka menyimpan wang bagi tujuan ke Mekah dan tidak kurang juga ada yang mahu baiki rumah.

Ujarnya lagi, besarlah harapan mereka sekiranya harga sawit akan kekal tinggi serta memberikan pulangan yang baik buat mereka.

Harga jualan Buah Tandan Segar sawit masa ini melebihi RM1,000 bagi setiap satu tan metrik yang memberi pendapatan kepada peneroka antara RM3,000 hingga RM6,000.

Kenaikan itu memberi be­rita gembira kepada kira-kira 500,000 peneroka dan pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Berita berkaitan: Peneroka raih ‘gaji’ RM10,000 sebulan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI