HULU TERENGGANU – Perbuatan segelintir pihak menyeleweng minyak masak paket bersubsidi dengan memindahkannya ke dalam botol untuk jualan disyaki antara punca berlakunya gangguan bekalan bahan kawalan di pasaran pada masa ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kegiatan itu dikesan pegawai penguat kuasa kementeriannya sewaktu turun padang menyiasat aduan kekurangan minyak masak paket bersubsidi di pasaran.
“Kita menerima aduan kekurangan bekalan minyak masak paket di beberapa tempat khususnya di Perak dan Negeri Sembilan.
“Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan pemantuan menjumpai bukti berlakunya kegiatan penyelewengan tersebut,” katanya ketika ditemui pekarangan Pusat Dagangan Ajil (ATC) di sini hari ini.
Rosol memberitahu, minyak masak paket bersubsidi itu disyaki dipindahkan pihak tidak bertanggungjawab ke dalam botol untuk dijual mengikut harga pasaran.
Jelasnya, minyak masak botol tidak termasuk dalam kategori barangan kawalan iaitu RM2.50 sekilogram seperti minyak masak paket.
“KPDNHEP amat memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil,” katanya. – K! ONLINE