SELANGOR Pistons mempamerkan kebangkitan luar biasa pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa semalam apabila membenam cabaran Bomba Fighters dengan kemenangan 18-21, 21-16, 21-12.
Meskipun tumbang pada set pertama, namun kemasukan pemain berpengalaman, Farhan Adam di pertengahan set kedua berjaya membantu Selangor bangkit memenangi dua set berikutnya.
Kemenangan itu membolehkan Selangor merapatkan kedudukan dengan pasukan-pasukan teratas apabila telah melakar dua kemenangan dalam tiga perlawanan awal kempen 2021/22.
Walaupun perlawanan semalam dihiasai beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil, namun apit kanan Selangor, Amirul Syafiq Samudin enggan memanjangkan isu berkenaan kerana menganggap tugas sebagai pengadil juga sangat sukar.
“Berhubung beberapa keputusan pada perlawanan hari ini (semalam), kami terima sahaja kerana pengadil pun manusia. Tidak ada sesiapa yang lari daripada melakukan kesilapan.
“Memang kami gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi pertahanan menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya harap kami boleh bermain lebih baik,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, apit kanan Bomba Fighters, Muhamad Fadzil Mustafa menjelaskan, kelekaan sendiri menjadi punca mereka terpaksa menanggung kekalahan ketiga dan bukannya disebabkan pertukaran yang dilakukan pasukan lawan.
“Kemasukan Farhan Adam tidak ganggu rentak permainan kami, namun kesilapan Bomba sendiri yang menjadi punca kekalahan. Saya juga tidak dapat bermain dengan baik kerana berasa sedikit penat pada perlawanan hari ini (semalam),” ujarnya.
Selangor dijadualkan bertemu pasukan dari Utara, Penang Black Panthers hari ini sementara Bomba akan membuat perhitungan dengan pasukan pilihan, Kelantan Warriors pada Ahad.