fbpx

Sanggup beratur sejam beli nasi dagang tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SAIFUL ADLI (baju oren) dan bayi lelakinya membeli nasi dagang itu.

KUALA SELANGOR – Gerai nasi dagang adik-beradik tular kekal menerima sambutan luar biasa biarpun beroperasi di lokasi baru di Jalan Puncak Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.

Perkara itu terbukti apabila sebanyak 800 bungkus nasi berjaya dijual dalam tempoh dua jam bermula pukul 7.30 pagi tadi dengan pelanggan sanggup beratur sejauh 100 meter bagi menunggu giliran.

Seorang pelanggan, Mohd. Saiful Adli Abdullah, 36, berkata dia gembira dapat membeli nasi dagang berkenaan biarpun terpaksa beratur sejam dengan bayi lelakinya berusia lapan bulan, Mir Rayqal Eidlan.

Katanya, dia yang menetap di Bandar Seri Coalfields di sini tiba di kawasan gerai berkenaan sejak pukul 8 pagi.

“Saya mahu mencuba makanan popular itu selepas mengetahui ia tular sehingga terpaksa ditutup sebelum ini.

“Syukur saya dapat membeli enam bungkus selepas mula beratur sambil membawa bayi di dalam ‘stroller’ (kereta sorong),” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Sementara itu, peniaga Nasi Dagang Adik Beradik Rezki Roda itu, Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, memberitahu, pihaknya menggunakan sebanyak 60 kilogram beras bagi menyediakan makanan tradisional Terengganu berkenaan.

Katanya, dia dan empat adik lelakinya membuat persiapan sejak semalam selepas beberapa hari menutup sementara gerai lama di Persiaran Alam Perdana.

“Sejurus dicadangkan mengenai lokasi baru, kami bersetuju kembali beroperasi dengan turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk semua pelanggan.

“Selain membuat garisan beratur satu meter, kami menyediakan kupon khas bagi mengehadkan pembelian nasi supaya lebih adil kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui di tapak gerai itu.

Jelas Muhammad Khairul Nizam yang pihaknya bersyukur segalanya berjalan lancar dan turut mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

“Niat kami adik beradik hanya mahu mencari rezeki untuk menampung kehidupan namun tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak.

“Alhamdulillah, nasi dagang kami masih menerima sambutan baik pelanggan dan berharap keadaan itu berkekalan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI