RAMAI yang menggemari elemen kayu dalam tata rias kediaman mereka kerana jika kena sentuhannya, ia akan menyerlahkan aura mewah dan eksklusif pada sesebuah kediaman.
Malah, ia juga mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep dekorasi sama ada moden, klasik atau pun kontemporari.
Memasuki kediaman milik Noorazlinda Zakaria, 48, dan suami, Syed Ahmad Zulfar bin Syed Zainun, 56, di Bandar Mahkota, Cheras penulis terpegun seketika melihat susun atur dan tata rias ruang begitu mempesonakan.
Pasangan tersebut berkongsi cita rasa sama apabila memilih untuk meletakkan elemen kayu pada tata rias kediaman teres jenis dua tingkat yang didiami itu.
Penggunaan meja makan jenis kayu yang disuai padankan dengan karpet polos moden daripada rona kelabu kebiru-biruan yang lembut menjadikan ruang itu kelihatan elegan dan menawan.
Malah, limpahan cahaya jingga yang sedikit malap dilihat cukup sesuai pada seluruh ruang kediaman bagi menjadikan kediaman kelihatan redup.
Jelas Noorazlinda, dia cukup sukakan rona selamat sebegitu yang disifatkan amat sesuai dengan apa jua konsep hiasan dalaman yang ditampilkan.
“Inspirasi hiasan dalaman bagi kediaman ini diambil daripada konsep hiasan dalaman jenis elegan dan mewah yang digabungkan dengan perabot jenis kayu.
“Selain perabot, saya juga amat menggemari ukiran kayu yang lazimnya diletakkan sebagai hiasan di halaman rumah,” katanya.
Malah, Noorazlinda juga turut memilih tangga jenis kayu yang diukir cantik sebagai tangga kediamannya bagi menyerlahkan sisi hangat pada ruang rumah seluas 46.6 meter persegi itu.
Selain tangga, siling pada ruang tamu kediaman juga adalah daripada elemen kayu bagi mencipta kesenadaan dengan keseluruhan ruang.
Biarpun memilih siling kayu daripada rona yang agak gelap, ia tidak sedikit pun menjadikan ruang kediaman itu kelihatan sempit.
Bagi mewujudkan elemen semula jadi pada ruang tamu itu, Noorazlinda juga turut meletakkan hiasan berupa tumbuh-tumbuhan di beberapa sudut.
Hasilnya, kediaman itu tampil segar dengan elemen tumbuhan yang menghiasi ruang.
Dari segi pemilihan rona utama kediaman pula, mereka dilihat memilih rona biru tirus yang digabungkan dengan rona selamat seperti kelabu lembut, putih dan emas.
“Saya menggemari warna biru tirus ini kerana ia mewujudkan suasana yang tenang,” tuturnya.
Bercerita tentang kos dekorasi pula, Noorazlinda tidak keberatan untuk berkongsi bahawa dia menghabiskan sekitar RM23,000 untuk menghasilkan konsep impian tersebut.
Wanita itu juga mengatakan bahawa dia berpuas hati dengan tata rias sedia ada dan tidak merancang untuk melakukan sebarang pengubahsuaian tambahan.