TUMPAT – Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan dana sebanyak RM11.5 juta untuk menaik taraf dua buah pantai ikonik di Kota Bharu iaitu Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Pantai Kundur pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, peruntukan itu digunakan dalam usaha menjadikan kedua-dua pantai itu sentiasa menjadi tarikan ramai termasuk pelancong domestik.
Menurutnya, kos tersebut turut melibatkan pengambilan tanah yang kini giat dilakukan untuk membangunkan prasarana yang lebih baik di kawasan itu.
“Pantai Kundur merupakan lokasi baharu untuk projek naik taraf ini dan ia dijangka siap pada tahun ini.
“Bagi projek di PCB pula, kita akan menjalankan kerja-kerja membaik pulih kawasan sedia ada mengikut keperluan dalam usaha untuk mengindahkan pantai itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-Royong Perdana di Pantai Geting di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Izani, bagi projek di Pantai Kundur, peruntukan itu turut digunakan untuk membina petak pakir kenderaan, membina tapak gajah dan hiasan landskap penanaman pokok.
Ujarnya, selain dua buah pantai itu, kerajaan negeri memperuntukkan dana hampir RM1 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Pantai Melawi dan Pantai Irama di Bachok.
“Kita juga akan membuat kerja-kerja naik taraf tempat peranginan seperti air terjun di Jeli dan Pasir Puteh dengan peruntukan RM500,000 di bawah bajet kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya. – K! ONLINE