fbpx

PPV Booster IDCC dapat sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isnaini (kiri) sedang bertanya sesuatu kepada seorang penerima vaksin di ruang rehat selepas divaksin di PPV IDCC Seksyen 15, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pembukaan semula Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi dos penggalak (Booster) mendapat sambutan daripada orang ramai.

Hasil tinjauan mendapati kira-kira 200 penerima vaksin melalui janji temu MySejahtera tiba di PPV tersebut bermula pukul 8 hingga 10 pagi ini.

Seorang pekerja dari Estika Medispa Seksyen 14, Nurul Ain Athirah, 26, berkata, dia komited untuk mengambil dos penggalak berkenaan bukan sahaja untuk diri sendiri malah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan spa terjamin.

Menurutnya, sebelum ini dia telah mengambil dua dos vaksin Astra Zaneca dan untuk dos penggalak dia turut disuntik vaksin yang sama.

“Selepas disuntik vaksin tadi saya tidak berasa apa-apa lagi. Semasa dos pertama rasa sakit kepala dan tangan tetapi dos kedua tiada apa-apa kesan.

“Kita bekerja dengan orang ramai sebab itu penting untuk kita dilindungi dan melindungi orang lain,” katanya ketika ditemui di ruang rehat PPV IDCC, Seksyen 15, hari ini.

Turut hadir Pengurus PPV IDCC, Dr. Isnaini Awalluddin.

Bagi seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Seksyen 24, Mohd. Ajmal Mufasyal Arif, 30, memaklumkan penyertaannya dalam pengambilan dos penggalak bagi memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan Covid-19.

“Varian Covid-19 sudah ada banyak sekarang, jadi dengan dos penggalak ini diharap dapat meningkatkan imun badan saya.

“Bagi saya lebih baik kita berusaha mencegah selain bagi memastikan keselamatan terutama ketika saya pulang ke kampung di Kedah bertemu isteri dan anak,” ujarnya.

Sementara itu, Isnaini menjelaskan, kapasiti PPV tersebut hanya menyediakan 4,000 penerima vaksin sehari bermula pukul 8 pagi hingga pukul 9 malam.

“PPV ini hanya memberikan dos penggalak Astra Zaneca sahaja. Sekiranya ada penerima vaksin tidak bersetuju disuntik dengan jenis vaksin berkenaan boleh membuat janji temu lain untuk mendapat dos penggalak lain,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI