KOTA BHARU – Pertambahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri akan mengakibatkan lebih ramai rakyat di negara bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, separuh ahli KWSP mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dan daripada jumlah itu, 55 peratus adalah golongan bumiputera.
Katanya, selain itu, sebanyak 79 peratus ahli KWSP didapati mempunyai simpanan kurang RM1,000 dengan majoriti mereka juga merupakan golongan bumiputera.
“Jika kita membenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan kemerosotan simpanan persaraan sekali gus menjadi beban besar kepada seluruh Keluarga Malaysia pada masa depan.
“Kerajaan peka terhadap masalah rakyat dan pelbagai pendekatan diusahakan bagi memelihara kebajikan golongan B40 dan M40,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC), Tunjong di sini hari ini.
Terdahulu, bancian awam berkaitan pengeluaran KWSP i-Citra yang dijalankan Pemuda UMNO baru-baru ini mendapati 97.1 peratus atau 21,524 individu memerlukan pengeluaran RM10,000 secara one-off bagi meringankan beban ketika ini.
Mengulas lanjut mengenai hasil bancian oleh Pemuda UMNO itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya tidak mengetahui kaedah cara bancian berkenaan dilakukan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata, lebih RM31 bilion diperuntukkan dalam belanjawan 2022 untuk subsidi bantuan dan insentif bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.
Katanya, ini termasuk Bantuan Keluarga Malaysia yang melibatkan peruntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima. – K! ONLINE