fbpx

Permohonan pengambilan pekerja asing mulai 28 Januari – Saravanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan akan membuka proses permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing bermula 28 Januari ini.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, buat permulaan, ia akan membabitkan pengambilan kira-kira 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

Beliau berkata, permohonan pekerja warga asing bagi sektor-sektor lain yang dibenarkan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka pada 15 Februari depan.

“Permohonan boleh dibuat oleh majikan di laman web www.fwcms.com.my,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau juga ingin mengingatkan semua majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Saravanan berkata, SOP itu merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

Menurutnya, semua pekerja warga asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan.

“Ketika ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang yang mampu menampung seramai 10,000 orang pada satu-satu masa dan pihak kementerian mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat bagi tujuan kuarantin,” katanya.

Jelasnya, pusat kuarantin itu perlulah mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lalu telah bersetuju untuk membenarkan pengambilan pekerja warga asing dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI