fbpx

Pancing haruan beri kepuasan tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD NAIM (kanan) dan rakannya, Muhammad Shahrul Iman menunjukkan haruan yang berjaya dijinakkan.

KESERONOKAN memancing di lautan serta lubuk ikan yang lain seperti kolam, lombong atau tasik memberi nikmat berbeza buat kaki pancing.

Bagi Mohamad Naim Mohd. Zakaria, 27, memburu ikan haruan memberikan pengalaman menarik dan perasaan teruja yang sukar digambarkan.

Katanya, dia yang sebelum ini gemar memancing di laut dan tepi pantai, namun sejak dua tahun lalu lebih banyak memburu ikan haruan kerana ia memberikan pengalaman berbeza.

“Memancing haruan ini sangat mengujakan terutama apabila disambar ikan bersaiz besar.

“Ia bagaikan mempunyai satu daya tarikan yang sangat luar biasa, seolah-olah seperti satu letupan di dalam air,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia sering keluar mencari lubuk ikan haruan bersama rakan-rakan.

Biasanya mereka menempuh laluan belukar atau kelapa sawit yang agak jauh ke dalam untuk mencari lubuk spesies ikan pemangsa itu.

Jika perlu ke kawasan terpencil, dia mengajak rakan-rakan atas faktor keselamatan, memandangkan kawasan berkenaan terletak jauh daripada penempatan penduduk.

Katanya, ia biasanya menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular.

Namun baginya, itu tidak menjadi halangan untuk terus mencari lubuk haruan demi mencari kepuasan diri.


KAWASAN lombong tinggal atau tadahan air menjadi lokasi pemburu ikan haruan.

Ujarnya, antara kawasan yang sering menjadi lokasi memancing haruan adalah di kawasan Kulim, Kedah; Seberang Perai, Pulau Pinang dan beberapa lokasi di Perak.

“Biasanya saya dan rakan-rakan keluar pagi kerana waktu itu, ikan haruan mencari makan di permukaan air.

“Haruan sukar ditangkap pada tengah hari kerana permukaan air panas,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jika memancing di kawasan kelapa sawit, cuaca tidak menjadi masalah kerana kawasan persekitaran teduh dilindungi pokok.

Ujarnya, memburu haruan bergantung kepada rezeki, jika bernasib baik memperoleh hasil banyak, jika tidak pulang tangan kosong.


HARUAN haruan bersaiz besar dan sederhana yang berjaya ditawan ketika memancing di kolam tadahan banjir di Taman Angsana, Kulim baru-baru ini.

“Biasanya saya memancing antara lima hingga lapan jam bergantung kepada keadaan cuaca dan hasil tangkapan,” jelasnya.

Jelas Mohd. Naim, dia biasa mendapat dua hingga lima ekor haruan bersaiz besar dengan anggaran berat kira-kira 400 gram hingga 1 kilogram.

Jelasnya, jika ikan yang saya dapat terlalu kecil, saya lepaskan kembali.

“Saya tidak menggunakan umpan katak hidup, sebaliknya lebih selesa menggunakan katak tiruan.

“Menggunakan umpan tiruan perlu ada kemahiran berbeza. Teknik digunakan adalah membaling umpan ke daratan berhampiran tebing lalu menarik masuk ke dalam air seolah-olah umpan itu melompat,” ujarnya.

MUHAMMAD SHAHRUL IMAN menunjukkan ikan haruan seberat 1 kilogram yang berjaya ditawannya.

Tambahnya, keterujaan dapat dirasai apabila ikan haruan menyambar umpan dan dibiarkan beberapa saat sebelum tali joran direntap.

“Saya mengambil masa lima hingga 10 minit sebelum berjaya menewaskan ikan tersangkut pada mata kail,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI