fbpx

Kertas siasatan ADUN Perak positif dadah diserah minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan di negeri ini selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan di sebuah pusat karaoke keluarga di Perai dekat sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan kes itu dijangka diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya pada minggu hadapan.

“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih tunggu laporan patologi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafa Kamal Gani berkata, ADUN berusia 54 tahun itu dan 35 suspek lain yang ditahan bersama disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Difahamkan dua daripada suspek yang ditahan dalam serbuan itu merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang ADUN Perak merupakan antara 36 yang ditahan polis dalam serbuan bermula kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan karaoke keluarga di Perai dekat sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI