LIVERPOOL – Ketiadaan dua bintang utama, Mohamed Salah serta Sadio Mane yang kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika menyaksikan Liverpool kehilangan ‘taring’ sebenar.
Ia terbukti apabila The Reds sekadar seri tanpa jaringan dengan Arsenal pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kecewa melihat kegagalan mereka memanfaatkan kelebihan menentang Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain selepas Granit Xhaka dilayangkan kad merah dalam babak pertama.
Ekoran itu, Arsenal lebih banyak bermain secara bertahan dengan pengurusnya, Mikel Arteta memasukkan Rob Holding menggantikan penyerang, Eddie Nketiah dan hanya membiarkan Alexandre Lacazette di bahagian depan pasukan.
Walaupun dari segi penguasaan permainan lebih memihak kepada Liverpool tetapi ia tidak memberi makna besar ketika Arteta menjadi pengurus paling gembira dengan keputusan perlawanan itu.
“Saya lebih suka untuk menjaringkan gol berbanding kad merah yang diterima oleh Arsenal. Namun, ia adalah perlawanan timbal balik dan ini baru aksi ‘separuh masa’ pertama.
“Sepanjang hidup, saya tidak ingat kali terakhir saya merasakan peluang sudah pun tertutup hanya kerana seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama timbal balik. Kami akan cuba lebih baik nanti,” kata Klopp.
Keputusan itu memberi peluang lebih baik buat The Gunners yang menanti kunjungan Liverpool untuk aksi kedua di Emirates pada Jumaat minggu depan dengan pemenang akan bertemu Chelsea di pentas final pada 27 Februari ini. – AGENSI