BEIJING – Seorang wanita bertindak mencarikkan 32 busana perkahwinan menggunakan sebilah gunting di sebuah butik selepas bertengkar dengan pemiliknya, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Wanita yang dikenali sebagai Jiang itu dirakam mengamuk dan mengoyakkan gaun perkahwinan di sebuah butik yang terletak di Bandar Chingqing. Video itu tersebar di laman sosial tempatan, Weibo.
Menurut laporan, Jiang bertindak demikian selepas pengurusan butik memberitahu bahawa dia tidak akan mendapat semula wang deposit sebanyak £400 (RM2,287) selepas membatalkan tempahan gaun perkahwinan berharga £915 (RM5,228).
Meskipun diugut mengenai kerugian yang bakal ditanggung akibat tindakannya, Jiang seperti langsung tidak berasa takut.
“Fikir baik-baik, semua gaun ini berharga ribuan yuan,” demikian amaran dikeluarkan pihak butik dalam video ketika Jiang sedang mengamuk.
“Ribuan yuan? Jika puluhan ribu yuan pun, saya masih akan melakukan perkara sama,” balas Jiang.
Wanita itu menempah pakej perkahwinan dengan butik tersebut pada April 2021 untuk majlis perkahwinannya yang dijadualkan pada 5 Oktober lepas sebelum membatalkannya sama sekali pada November tahun sama. Dia kemudian meminta wang depositnya dikembalikan.
Pihak berkuasa telah dipanggil untuk menahan Jiang yang kemudiannya memohon maaf atas keterlanjurannya.
Suami Jiang menawarkan untuk memberi sejumlah wang pampasan . – Agensi