PETALING JAYA – Operasi menjaga kedaulatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dilaporkan berjalan lancar khususnya pada tahun lalu sekali gus menterjemahkan keupayaan dalam menangani beberapa ancaman di lokasi tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mengadakan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB-2) semalam bagi mendapatkan gambaran mengenai pelaksanaan ESSCOM di Sabah.
Menurutnya, kunjungan itu bukan sahaja penting buat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menambah baik inisiatif sedia ada ESSCOM, tetapi bagi mengkoordinasi perancangan hadapan memperkukuh pertahanan Sabah.
“Operasi keselamatan melalui ESSCOM khususnya sepanjang tahun 2021 berjalan lancar dan berupaya menangani ancaman seperti kidnap for ransom, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta militan dan pengganas.
“Untuk makluman, secara asasnya operasi keselamatan di bawah ESSCOM terbahagi kepada lima meliputi Operasi Gasak, Operasi Bersepadu, Operasi BENTENG atau OP Cegah PATI, Road Check Point (RCP) serta penguatkuasaan Zon Perintah Berkurung,” katanya.
Hishammuddin menjelaskan, Operasi Gasak melibatkan tindakan menghapuskan sasaran kidnap for ransom selain melakukan operasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) ke atas aktiviti mengancam keselamatan penduduk.
“Operasi Bersepadu pula merupakan operasi skala kecil melibatkan gabungan agensi penguat kuasa memfokuskan kawasan ESSZone diduduki PATI, manakala Operasi BENTENG, OP Cegah PATI serta RCP bertujuan menghalang kemasukan golongan berkenaan.
“Antara kejayaan operasi itu yang mendapat kerjasama erat Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan ESSCOM pada 2021 termasuklah merampas dadah bernilai RM3.34 juta serta mengusir lebih 1,407 PATI,” jelasnya.
Berdasarkan kejayaan itu, Hishammuddin berkata, ESSCOM memaklumkan bahawa ESSZone dilaporkan selamat dan terkawal.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasi, sebaliknya akan terus memperkukuh usaha menjaga kedaulatan Sabah dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” ujarnya.
Selain ESSCOM, ATM turut memberi keyakinan untuk memperkasa tahap pertahanannya di Sabah selari dengan perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor semalam.
“Secara ringkasnya, terdapat lapan batalion menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah ketika ini di mana empat batalion beroperasi selain empat lagi batalion berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan.
“Bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), kita telah telah mengatur gerak seramai 5,044 orang merangkumi pegawai dan anggota, manakala Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seramai 2,419 individu sedang bertugas,” ujarnya.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula mengatur gerak seramai 1,283 orang dan mereka kini berada dalam keadaan bersiap siaga di Pangkalan Udara Labuan.
Katanya lagi, secara keseluruhannya, terdapat 8,746 anggota ATM yang berkeupayaan melaksanakan penugasan pada setiap masa demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah.
“Susulan itu, bagi memperkasa usaha menjaga keselamatan di Sabah beberapa inisiatif turut diwujudkan termasuklah membina satu kem baharu di Felda Sahabat, Lahad Datu dengan peruntukkan melebihi RM646 juta.
“Kita juga akan merancakkan semula inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu serta Sulawesi,” tegasnya.
Katanya lagi, hasrat itu telah dimaklumkan kepada negara terlibat selain satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari depan.