fbpx

Doktor kontrak kini layak pohon HLP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Doktor-doktor berstatus kontrak kini layak untuk memohon serta mendapatkan tajaan biasiswa menerusi program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) sebagai langkah untuk memahirkan diri dalam bidang kepakaran masing-masing.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana menunaikan janji dan membuktikan keberanian serta keazaman beliau untuk menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak lima tahun lalu.

“Kami berharap terma dan syarat permohonan untuk HLP akan disempurnakan dalam masa terdekat dan kita juga percaya Khairy Jamaluddin akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan beberapa lagi isu yang dihadapi oleh doktor kontrak seperti dibincangkan dalam perjumpaan pada 21 September tahun lalu.

“Antara isu yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah kriteria dan pemilihan telus bagi penyerapan doktor kontrak ke perjawatan tetap dan faedah serta manfaat yang serupa dengan doktor berjawatan tetap seperti tempoh kenaikan pangkat, cuti-cuti juga manfaat lain yang tidak dinikmati oleh doktor kontrak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, isu lain yang turut ditekankan adalah penawaran perjawatan tetap berserta simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua doktor kontrak dengan meminda Akta Pencen 1980.

“Kami yakin bahawa Khairy Jamaluddin dan pasukannya akan menunaikan janji mereka demi kebaikan bersama doktor muda dan sistem kesihatan Malaysia secara amnya.

“Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan terus memperjuangkan kebajikan serta menjadi pemangkin kepada isu-isu yang dihadapi doktor-doktor kontrak,” jelas kenyataan itu.

Menerusi satu surat bertarikh 5 Januari lalu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) telah memaklumkan tentang pelantikan secara kontrak melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tamat tempoh khidmat wajib bagi kesinambungan perkhidmatan atau persediaan pengajian kepakaran.

Jelas surat berkenaan, tawaran pelantikan semula secara kontrak itu akan dibuat berdasarkan kohort lantikan secara berperingkat menerusi Portal Semakan Kerjaya KKM di pautan https://semakerjaya.moh.gov.my/semakan.php bermula 1 Januari lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI