LAKONAN hebat Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy tidak perlu disangkal lagi.
Jika berlakon menjadi ibu yang kejam, rasa seperti hendak dipecahkan skrin televisyen gara-gara wataknya sangat menjadi dan mencengkam emosi.
Terbaharu, namanya kembali menjadi sebutan netizen apabila beberapa babak lakonan bersama Nafiez Zaidi dalam drama Bunga Hati tular dalam media sosial.
Bukan babak romantik tetapi adegan sepak terajang Ogy terhadap Nafiez yang memegang watak sebagai remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ternyata memberi impak emosi kepada para penonton.
Malah, ada netizen yang menegur jurukamera kerana tidak melakukan sebarang tindakan apabila berlaku situasi tersebut.
“Orang lama bila berlakon, penjiwaan mereka memang mantap dan bila menonton video ini, rasa sedih sangat,” komen seorang pengguna TikTok.
“Hebat Ogy dan tahniah kepada Nafiez. Kedua-dua lakonan memang menjadi dan meruntun hati kami,” tulis seorang lagi netizen.
Sekadar info, Bunga Hati telah mula ditayang pada 10 Januari lalu menerusi Astro Ria dan turut membariskan nama-nama besar lain seperti Intan Najuwa, Redza Rosli dan Erwin Dawson.