GEORGE TOWN – Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula Isnin hingga Rabu ini antara pukul 6 pagi hingga 7 malam sempena sambutan Thaipusam.
Antara jalan terlibat termasuk Jalan Gotlieb-Jalan Burma, Jalan Brown-Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun, Jalan D. S. Ramanathan-Jalan Gotlieb, Jalan D. S. Ramanathan-Jalan Brown, Jalan Utama-Jalan Brown, Lebuhraya Rose-Jalan Brown dan Jalan Wright-Jalan Burma.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perarakan pedati dijangka bermula pukul 6 pagi Isnin ini bagi Pedati Emas dan pukul 7 pagi bagi Pedati Perak.
Tambahnya, perarakan itu akan bermula dari Kuil Lebuh Queen ke Kuil Air Terjun sejauh 6.5 kilometer (km) melalui sekurang-kurangnya 12 laluan utama.
“Bagi perjalanan balik, Pedati Emas akan bergerak pukul 6 petang manakala pedati Perak pukul 7 malam pada Rabu melibatkan jarak perjalanan masing-masing 9.1 km dan 8.7 km.
“Hanya 100 penganut dibenarkan mengiringi perarakan pedati seperti mana ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan kita harap mereka yang tidak berkenaan tidak melibatkan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 70 anggota polis akan mengiringi perarakan pergi dan balik kedua-dua pedati itu iaitu sebahagian daripada 1,300 anggota dan pegawai yang ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam tahun ini. – K! ONLINE