TUMPAT – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan menghantar seramai 29 anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Perap, Bidor, Perak untuk membantu mengawal kawasan dan mengesan harimau di Pos Bihai, Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menghantar anggota PGA untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan tersebut.
Menurutnya, seramai 19 anggota PGA terbabit akan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang pada Rabu ini manakala 10 lagi keesokan harinya.
“Tugas anggota PGA adalah untuk mengawal pergerakan penduduk agar mereka tidak keluar demi keselamtan mereka.
“Anggota terbabit juga akan membantu Perhilitan untuk mengesan harimau belang yang dipercayai masih berada di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Kayuhan Tahun 2022 di Balai Polis Wakaf Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, penduduk orang Asli akan dikawal dan tidak dibenarkan keluar ke kawasan hutan selagi kerja mengesan belum selesai.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, penduduk di Pos Bihai dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang turut menghantar bekalan makanan.
“Semua penduduk tidak dibenarkan keluar ke kawasan hutan bagi mengelak menjadi mangsa harimau belang.
“Anggota polis turut ditugaskan melakukan pemantauan di sepanjang laluan di luar kawasan hutan,” katanya. – K! ONLINE