SERDANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan bantuan sehingga RM100,000 dalam usaha membantu meringankan beban mangsa banjir di sekitar Selangor.
Pengerusinya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, tiga lokasi yang menjadi tumpuan YBR adalah di kawasan Hulu Langat, Shah Alam dan Klang.
“Pihak kami bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat bencana ini dan diharapkan dengan bantuan yang diberikan dapat membantu mereka yang terkesan dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir kepada mangsa terjejas di Balai Rukun Tetangga di Taman Seri Serdang di sini hari ini.
Dalam pada itu, YBR memperuntukkan RM10,600 kepada 53 keluarga sebagai inisiatif meringankan beban mangsa-mangsa banjir terjejas di sekitar daerah Serdang di sini hari ini.
Megat Zulkarnain berkata, bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti melalui Kelab Rekreasi Wanita Muda Puchong.
“Bantuan ini merupakan usaha YBR untuk membantu mereka yang memerlukan dan akan mengusahakan lebih banyak bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan di kawasan yang terjejas.
“Diharap bantuan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana ditambah situasi wabak Covid-19 yang masih belum pulih,” jelasnya. – K! ONLINE