TAMPIN – Sekurang-kurangnya enam buah kedai menjadi sasaran tiga sekawan termasuk dua wanita berbelanja mengguna duit palsu di Gemas di sini pada malam Selasa lalu.
Kosmo! difahamkan tiga suspek yang ditahan di Melaka pada Rabu lalu itu membeli barangan serendah harga RM10 dan membuat pembayaran menggunakan wang RM100 palsu.
Peniaga kedai pakaian terpakai, Muhammad Zekri Zulkefly, 22, berkata, dia tidak menyangka menjadi mangsa penipuan wang palsu serentak dengan kembarnya bekerja di sebuah kedai serbaneka.
Kejadian itu berlaku pada pukul 8 malam, Selasa lalu.
“Semasa kejadian, ada satu pasangan membeli pakaian bundle berharga RM10, manakala dalam kejadian di kedai kembar saya, seorang wanita berpewatakan tomboi membeli tambah nilai telefon bernilai RM10.
“Pada mulanya saya memang tak perasan wang RM100 itu palsu kerana jika dilihat sekali imbas ia kelihatan seperti wang kertas tulen.
“Saya hanya menyedari perkara itu dua jam kemudian semasa membuat pengiraan. Selepas diteliti rupa-rupanya wang itu adalah palsu,” katanya ketika dtiemui di Dataran Satria, Gemas semalam.
Menurut Muhammad Zekri, semasa kejadian, pasangan itu cuba mengalih perhatiannya dengan bertanyakan mengenai barangan lain bagi mengelak kegiatan mereka terbongkar semasa membuat pembayaran.
“Saya berasa kesal kerana ada yang mengambil kesempatan ke atas peniaga seperti kami. Ketika ini hendak jual barang pun susah, selepas itu terpaksa tanggung rugi wang palsu pula,” katanya.
Sementara itu, majikan Muhammad Zekri, Muhammad Azzam Aznam, 34, memberitahu, kejadian tersebut kali pertama berlaku di premisnya dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.
“Saya sudah menyerahkan wang palsu dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kepada polis.
“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek bijak apabila mengalihkan perhatian pekerja semasa menyerahkan wang palsu dengan mengajukan pertanyaan seolah-olah berminat dengan barangan yang dipamerkan di belakang kaunter.
“Saya dimaklumkan terdapat enam buah kedai yang menjadi mangsa tiga individu tersebut pada malam sama, namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka (peniaga lain) membuat laporan polis atau tidak.
“Saya berasa lega apabila mengetahui mereka sudah ditangkap. Kami akan lebih berjaga-jaga selepas ini,” katanya.