LUMUT – Kerjasama pertahanan maritim antara Malaysia dengan negara sahabat diperkasakan apabila buat julung-julung kalinya melaksanakan latihan bersama dengan Tentera Laut Jerman.
Menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX), latihan ini membabitkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan frigat Bayern milik Jerman.
TLDM dalam satu kenyataan memberitahu, jalinan kerjasama pertahanan merupakan teras pendekatan efektif yang sentiasa didukung dalam menyemarakkan hubungan baik dengan semua negara sahabat.
Menurut kenyataan itu, PASSEX yang diadakan di perairan Selat Melaka pada Rabu bertujuan memperkasa kebolehan operasi bersama melalui perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.
“Kedua-dua angkatan laut mempamerken komitmen dan kesefahaman menerusi penglibatan KD Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang serta helikopter Super Lynx.
“Tentera Laut Jerman pula melibatkan frigat Bayern dan helikopter Sea Lynx,” ujar kenyataan tersebut.
Latihan ini berlangsung dalam beberapa situasi di laut antaranya pelayaran taktikal, pendaratan helikopter dan sail past tanpa sebarang insiden.
Bayern iaitu satu daripada tiga frigat kelas Brandenburg yang mula digunakan pada tahun 1996 memiliki keupayaan melaksanakan operasi antikapal selam dan pertahanan udara.
Kapal ini seterusnya akan belayar ke Sri Lanka dan India sebelum pulang ke negara asal pada Februari 2022 setelah selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan.
Jerman buat pertama kali selepas 20 tahun menghantar kapal perang ke Indo-Pasifik bagi misi pengawasan keselamatan maritim bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amarika Syarkat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan. – K! ONLINE