PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama bersama Yayasan KRU menerusi program Kita Jaga Kita dengan menyediakan latihan ‘Sosial E-Commerce’ bagi memperkasakan ilmu keusahawanan digital untuk golongan belia dari keluarga B40.
Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, program Kita Jaga Kita dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu dengan hasrat melahirkan 100 usahawan dalam kalangan mahasiswa khususnya daripada keluarga kumpulan B40 di Malaysia sepanjang tahun ini.
“Pihak Yayasan berterima kasih kepada PTPTN kerana membantu kumpulan pertama seramai 20 belia warga Malaysia menyertai program ini sekali gus melayakkan mereka mendapatkan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kesemua pelatih yang menyertai program ini telah menerima sijil tamat latihan dan akreditasi selepas berjaya melengkapkan tempoh latihan selama sebulan secara hibrid.
“Latihan yang dijalankan merangkumi modul berkaitan keusahawanan digital dan penerbitan kandungan kreatif,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada pelatih dalam mengembangkan perniagaan mereka menerusi karya kreatif yang dipersembahkan. – K! ONLINE.