PETALING JAYA – Pejabat bekas Perdana Menteri Ke-8 menafikan dakwaan pendakwah bebas, Abu Syafiq Al-Asy’ary bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 ketika mengerjakan umrah pada Mac 2021.
Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd. Naaim Mahmod berkata, Muhyiddin dan semua delegasi menerima suntikan dos pertama vaksin sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua apabila kembali ke tanah air.
“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.
“Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP (Prosedur Operasi Standar) yang ketat termasuk melakukan ujian (Polymerase Chain Reaction) sebelum, semasa dan selepas lawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Naaim berkata, hasil ujian PCR ketika itu mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19 dan pergerakan mereka di Arab Saudi juga dikawal ketat dalam suatu gelembung perjalanan yang telah ditetapkan. – K! ONLINE