SEBANYAK dua kali penyanyi ini pernah menjuarai program realiti. Dahulu dia menang untuk masuk ke dunia nyanyian dan kemenangan terbaharu menjadi bukti bahawa bakat dan kesungguhannya masih relevan untuk menyerikan arus dunia seni suara tanah air.
Shahir Zawawi sebetul cukup bersyukur kerana masih diberikan rezeki untuk berpijak di gelanggang seni.
Biarpun pernah hilang dari radar selama empat tahun, juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila memenangi pertandingan Hijrahkan Laguku anjuran stesen televisyen TV AlHijrah baru-baru ini.
Dia juga tidak berniat untuk sengaja menghilangkan diri sebelum ini, namun mengikut apa yang berlaku mungkin telah dirancang Ilahi.
“Saya tidak hilang. Cuma keadaan tidak mengizinkan, yang membataskan pergerakan seni saya. Kalau ikutkan pada tahun 2020, saya akan muncul dengan sebuah single baharu, namun tergendala disebabkan pandemik Covid-19.
“Jadi perkara-perkara tidak dijangka seperti itu yang menghalang saya. Saya juga ada beberapa perancangan dan tawaran lain daripada beberapa pihak, jadi saya perlu teliti dahulu perkara itu,” katanya.
Makin matang
Lelaki berusia 33 tahun itu juga enggan untuk bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa. Dia bimbang tidak dapat memberikan komitmen penuh terhadap kerja.
“Alhamdulillah, selepas selesai program Hijrahkan Laguku dan menjadi juara, saya akan fokus semula terhadap karier nyanyian,” ujarnya.
Kembali bergelar seorang juara, Shahir pastinya tidak akan terlepas daripada menjadi sorotan media dan pastinya, cerita sensasi membabitkan dirinya kembali tercetus.
Masyarakat juga akan kembali bercakap tentangnya apabila tiba-tiba mengambil keputusan untuk kembali ke dunia glamor.
Namun bagi Shahir, pengalaman cukup mengajarnya menjadi lebih dewasa dan bersedia dengan apa jua kemungkinan.
“Sebenarnya kalau saya tidak ‘muncul’ sekali pun, tetap akan ada cerita yang keluar. Saya sudah belajar daripada pengalaman terdahulu.
“Cuma saya berharap mudah-mudahan orang akan bercakap tentang saya perkara yang baik-baik sahaja,” katanya.
Bukan nabi
Ditanya sama ada tugas dan tanggungjawabnya sebagai juara program nyanyian kerohanian tersebut sesuatu yang berat, Shahir menjelaskan, dia hanyalah insan biasa yang tidak sempurna.
“Berat atau tidak tanggungjawab itu, bergantung kepada diri kita. Kalau kita hanya ‘berlakon’ untuk nampak baik, tentulah akan rasa berat.
“Dalam program ini, saya bawa watak diri sendiri. Saya bukan nabi atau maksum. Pasti akan buat kesilapan.
“Kita buat kebaikan kerana Allah dan setidak-tidaknya, benda begini akan menginspirasi orang lain. Saya masuk program ini bukan nak beritahu orang ramai yang saya nak jadi baik,” katanya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu tidak kisah untuk untuk muncul dalam mana-mana program hiburan lain selepas ini. Dia juga seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada bersikap selektif selepas menjuarai program berbentuk hiburan dakwah.
“Nak kata selektif, tidak juga. Saya tidak akan tinggalkan kawan-kawan lain sebelum ini. Saya tidak boleh menghakimi mereka. Apa yang penting adalah niat saya. Nak berhibur tidak salah, tapi ada caranya.
Rezeki
Bercerita tentang perjalanan untuk 2022, Shahir percaya semuanya sudah diatur Allah SWT. Pernah melibatkan diri dalam bidang perniagaan sebelum ini, Shahir sebenarnya bercadang untuk mencari rezeki dalam bidang lain.
Namun, pengalaman menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian jutaan ringgit sedikit sebanyak membuatkan Shahir lebih berhati-hati.
“Saya pernah berdepan dugaan ditipu oleh pembekal. Dalam situasi pandemik, ramai yang mengambil kesempatan. Pengalaman pahit itu berlaku pada Oktober 2020.
“Pembekal yang sepatutnya membekalkan barangan keperluan perubatan kepada syarikat saya menipu dengan menghantar kotak kosong, disebabkan penipuan itu, saya terpaksa menanggung kerugian mencecah RM12 juta,” katanya.
Ujar Shahir lagi, dia sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap kes tersebut dan bersyukur kerana pelanggannya sangat memahami situasi yang berlaku.
“Namun Allah SWT lorongkan rezeki saya kembali dalam bidang seni apabila dipanggil untuk menyertai program Hijrahkan Laguku.
“Rezeki saya sudah diatur. Alhamdulillah aturan-Nya ke arah yang positif. Program lain juga bagus. Mudah-mudahan kita semua mendapat rezeki yang berkat,” tutupnya.