SITI Nur Alia Mansor tidak rela menghabiskan tempoh setahun dengan sia-sia apabila bertekad untuk menempah kejayaan sepanjang latihan bersama Canyon-Sram Racing di Sepanyol.
Selain latihan, satu perlumbaan yang dijadualkan Mac ini dijangka menjadi ujian awal buat pelumba muda dari Terengganu itu bagi meyakinkan barisan kejurulatihan untuk merebut satu slot ke pasukan elit.
“Mereka tetap pelumba profesional dan saya pula hanya pelumba dari Terengganu sahaja. Mungkin saya memerlukan sedikit masa untuk ‘berkawan’ dengan pelumba lain yang berstatus Olimpik.
“Rasa takut dan berdebar kerana di sana ada pelumba berstatus Olimpik. Memang agak sukar untuk cuba bersaing dengan mereka tetapi saya akan cuba sehabis baik.
“Saya yakin dengan kemampuan diri untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Sepanyol malam kelmarin.
Adik kepada atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor itu melakar sejarah sebagai pelumba wanita Asia Tenggara pertama bakal menyertai jelajah basikal profesional dunia selepas sah menyertai Canyon-Sram Racing yang berpangkalan di Sepanyol.
Walaupun bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman, namun Alia melihat situasi itu sebagai perkembangan positif untuk perkembangan kariernya.
“Apabila dapat berlatih dengan pelumba Olimpik, saya boleh belajar sesuatu dan mungkin boleh ‘baca’ cara mereka. Ini peluang dan cabaran untuk terbesar saya,” katanya yang akan diperkenalkan secara rasmi esok.