KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggesa orang ramai khususnya warga kota untuk mengubah mentaliti membuang sampah merata.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, pihaknya terpaksa membersihkan sampah sarap dibuang oleh insan tidak bertanggungjawab yang ‘menghiasi’ sekitar kawasan Little India, Brickfields di sini hari ini.
Jelasnya, DBKL bersama agensi yang terlibat telah berusaha sebaik mungkin untuk mengindahkan kawasan tersebut untuk keselesaan dan kesejahteraan bersama tetapi ada segelintir yang masih berfikiran ‘setinggan’.
“Pemikiran dan sikap yang sedemikian tidak sepatutnya ada dalam kalangan warga kota yang mencintai keindahan.
“Siapapun yang membuat ‘onar’ ini, sikap dan mentaliti ini perlu diubah, Kuala Lumpur kini telah menjangkau 50 tahun, kematangan warganya perlu seiring dengan usianya,” katanya hari ini.
Tambahnya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, kebersihan persekitaran terus jadi keutamaan untuk dikekalkan walaupun pembaziran tenaga telah berlaku. – K! ONLINE