PETALING JAYA – Pengurusan Masjid Al-Islahiah di Kuang berhasrat membantu remaja lelaki yang ditangkap kerana cuba mencuri tabung masjid tersebut lima hari lalu untuk memperbaiki kehidupannya.
Nazir masjid berkenaan, Supandi Samin berkata, antara cadangan adalah melantik remaja berkenaan, Daniel Iskandar Mohd. Nasir, 19, sebagai petugas pembersihan masjid tersebut.
“Kita (pengurusan masjid) fikir hendak jadikan dia petugas masjid. Kita ada dewan mengaji di sini dan suruh dia jaga.
“Bagaimanapun kita dimaklumkan ada pihak mahu membantunya menyambung pelajaran. Jadi kita lihat dulu bagaimana keadaan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ dihukum penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.
Terdahulu, Supandi berkata, pengurusan Masjid Al-Islahiah tidak pernah berniat buruk terhadap remaja itu dan kejadian ‘mandi jenazah’ dialami Daniel Iskandar berlaku di luar kawalan.
Menurut beliau, remaja itu diserahkan kepada pihak polis juga atas permintaan datuk remaja itu yang mahu peristiwa tersebut menjadi pengajaran terhadap cucunya.
Jelas beliau, selepas remaja berkenaan ditahan oleh anggota ‘Kuang Krew’ dan rukun tetangga Ahad lalu, dia telah dibawa ke masjid tersebut untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, sementara menunggu datuk remaja itu tiba, beberapa ahli kariah masjid memandikan remaja itu di bilik jenazah yang menjadi tempat tabung itu disorokkan.
“Saya dimaklumkan mereka mandikan ‘budak’ itu untuk segarkan dia sebab dia dalam keadaan khayal.
“Kita sebenarnya tidak berhasrat menyerahkan remaja itu kepada polis, sebaliknya serahkan kepada datuknya tetapi datuknya yang mahu dia diserahkan kepada polis,” katanya. – K! ONLINE.