fbpx

Lelaki dijel lima tahun, mengaku gilis kaki anak tiri marahkan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggilis kaki anak lelaki tirinya berusia 10 tahun menggunakan motosikal, minggu lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ramlan Abdul Karim, 32, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tiri berumur 10 tahun menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Januari lalu. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 malam selepas tertuduh, yang ketika itu berada di atas motosikal telah bertengkar dengan isterinya membabitkan hal penceraian di hadapan rumah mereka.

Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya itu, selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun merayu agar hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor umur mangsa yang hanya berusia 10 tahun dan kecederaan dialaminya.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, Nariman kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI