fbpx

Jangan terus hanyut dibuai media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PLATFORM media sosial kini dijadikan tempat untuk membuli, mengeji dan memfitnah.– Gambar hiasan

PERKEMBANGAN teknologi komunikasi dan maklumat yang pantas menjadikan dunia media baharu berubah seiring dengan perubahan kehidupan manusia.

Setelah melepasi lebih 20 tahun pengalaman zaman milenium, hari ini masyarakat sudah biasa rutin bersama kehidupan yang lebih pintar impak daripada penyatuan media.

Masyarakat pada masa kini semakin sebati dengan kehidupan berasaskan internet, teknologi komunikasi dan juga interaksi jaringan dunia media sosial dalam setiap rutin kehidupan masing-masing.

Penggunaan internet bukan sekadar untuk pencarian maklumat, malah peranannya kini lebih luas demi membina jaringan interaksi sosial tanpa sempadan.

Interaksi sosial semakin berkembang, bukan sekadar berkomunikasi secara bersemuka, malah kerap berlaku komunikasi maya dan visual yang lebih mudah dan popular.

Internet sudah menjadi keperluan utama kepada setiap era generasi, sama ada dalam kalangan baby boomers, generasi X, Y, Z mahupun generasi alfa dan beta.

Generasi yang terdedah kepada perkembangan teknologi media digital ini lebih dikenali sebagai masyarakat digital.

Masyarakat digital dikenali sebagai mereka yang membina struktur sosial melalui jaringan teknologi komunikasi digital bagi mendapatkan kehidupan lebih efisien dan komprehensif.

Oleh itu, mereka menggunakan teknologi digital sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Tanpa sedar, sepanjang tempoh 20 tahun ini, seharusnya tahap kefahaman, amalan dan rutin masyarakat digital turut berubah.

Malangnya, pengguna media sosial masih belum move on dengan kejutan kandungan media baharu apabila masih wujud sikap yang tidak menunjukkan ciri-ciri masyarakat moden yang lebih terbuka, berdaya saing, bertamadun dan saling positif dalam memberikan pandangan.

Wujud pelbagai penyakit daripada kesan media sosial apabila dikatakan masyarakat mental yang sibuk mengecam, memberi penilaian negatif sehingga tular, menghukum sehingga berlaku kecelaruan emosi dan juga ‘pembunuhan’ karakter warganet.

Inilah realiti yang perlu ditelan hasil penjajahan dunia teknologi maya digital yang telah membentuk masyarakat yang hilang kemanusiaan dan juga emosi.

Platform media sosial dijadikan tempat untuk membuli, mencemuh, mengeji serta menyebarkan fitnah.

Masyarakat digital seolah-olah hilang tertib adab dan nilai sehingga sanggup bertindak di luar perikemanusiaan berlandaskan agama.

Landasan syariat Islam ditinggalkan apabila muncul pelbagai bentuk fitnah, kecaman, sindiran dan juga pembulian siber yang didorong tanpa nilai dan akhlak Islam.

Bahkan kehidupan sebagai masyarakat beragama telah ditinggalkan apabila mereka sibuk menguruskan kehidupan mereka dalam dunia maya yang bukan realiti sebenar.

Luhur peribadi sebagai seorang Islam ditinggalkan apabila warganet hanyut dengan sifat-sifat mazmumah yang dibimbangi mengundang kemurkaan Allah.

Sesungguhnya, perkembangan kehidupan yang berubah dek kerana pengaruh media baharu sepatutnya menjadikan kita masyarakat digital yang lebih matang.

Sepatutnya, tiada lagi perbincangan mengenai lambakan maklumat atau kesan baik dan buruk daripada penggunaan media sosial kerana masing-masing sudah melepasi tahap kesedaran penggunaan media baharu.

Masyarakat digital yang matang perlu melihat medan dunia media baharu sebagai platform terbaik untuk membawa pengaruh positif dan menyampaikan mesej kebaikan.

Antara ciri-ciri warganet yang matang apabila mereka tidak mudah membuat penilaian dan juga berhenti untuk menghukum tanpa selidik mengenai sesuatu berita yang tular di ruang maya.

Netizen seharusnya bertabayyun mengenai sesuatu berita yang tidak benar sebelum mereka memberi apa-apa respons dan membuat perkongsian hantaran (posting).

Islam memberi panduan mengenai apa sahaja tindakan yang membawa kepada pembohongan dan fitnah yang tidak bertepatan dengan syariat.

Satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, sebagai Muslim yang sudah tentu memiliki matlamat untuk sampai ke syurga Allah, tidak akan pernah berani untuk menjadi pengadu domba sebagai orang yang menyebarkan fitnah.

Bahkan, jika sesuatu berita itu benar sekalipun, namun jika berniat untuk menjatuhkan aib dan maruah orang lain juga dilihat sebagai sifat mazmumah yang sangat dikeji dan tidak berlandaskan syariat Islam.

Hal ini kerana, situasi berkenaan akan membawa kepada kerosakan dalam masyarakat berbanding kesan baiknya.

Malah, melakukan perkara yang dikeji akan mengundang kebencian Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai perkara-perkara (akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah membenci perkara-perkara (akhlak) yang keji.” (Hadis riwayat al-Thabarani).

Ayuh, warganet semua untuk menjadi lebih matang dalam meneruskan kehidupan jaringan interaksi sosial di alam maya.

Jadikan platform media sosial sebagai tempat untuk mengutip amal pahala untuk kita sampai ke syurga Allah, bukan tempat untuk lambakan dosa yang menyebabkan kebencian Allah kepada kita.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI