fbpx

Inter kuasa baharu bola sepak Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANCHEZ (tengah) menjulang trofi Piala Super Itali selepas muncul wira Inter menewaskan Juventus pada aksi final awal pagi semalam. – TWITTER INTER

MILAN – Pemain gantian Inter Milan, Alexis Sanchez muncul wira apabila meledak gol kemenangan pasukan pada minit ke-121 untuk menjulang kejuaraan Piala Super Itali menewaskan Juventus 2-1 di Stadium San Siro awal pagi semalam.

Sanchez masuk menggantikan Lautaro Martinez pada minit ke-75, menolak masuk hantaran daripada Matteo Darmian yang sebelum itu berjaya merampas bola daripada bek kiri Juventus, Alex Sandro.

Gol itu menafikan hajat Juventus untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan pe­nalti dan terpaksa menyaksikan Inter kembali memenangi kejua­raan tersebut buat kali pertama selepas 11 tahun.

“Saya tidak kecewa kerana memulakan perlawanan di bangku simpanan walaupun saya merasakan keadaan badan pada tahap terbaik. Saya hormati keputusan jurulatih.

“Sebab itu apabila dimasukkan, saya seperti singa dalam sangkar yang sangat dahagakan kemenenangan. Tiada siapa dapat menghalang kami untuk bergelar juara dalam perlawanan ini,” kata Sanchez.

Sementara itu, ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri tidak dapat menerima kenyataan barisan pemainnya tewas pada saat-saat akhir kepada Inter yang beraksi lebih baik sepanjang 120 minit aksi tersebut.

SANDRO (tengah) menjadi punca kekalahan Juventus di tangan Inter pada final Piala Super Itali di San Siro awal pagi semalam. – AFP

“Inilah definisi bola sepak yang sebenar. Para pemain saya sudah bermain dengan sangat bagus tetapi malangnya kami lakukan kesilapan dalam tempoh lima saat terakhir.

“Kami beraksi menentang pasukan terkuat di Itali yang juga juara bertahan Serie A. Kekalahan ini boleh dielak jika kami memanfaatkan peluang demi pe­luang pada awal perlawanan.

“Pemain berhak kecewa dan meluahkannya dalam kejohanan kami selepas ini iaitu Serie A, Piala Coppa Itali dan Liga Juara-Juara,” kata Allegri.

Inter yang dibimbing Simone Inzaghi terlebih dahulu ketinggalan kepada Juventus menerusi tandukan Weston McKennie pada minit ke-25.

Bagaimanapun, Inter berjaya bangkit menyamakan kedudukan berselang 10 minit kemudian menerusi sepakan penalti Martinez selepas Edin Dzeko dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti.

Kemasukan Sanchez membuahkan hasil lumayan apabila bekas bintang Arsenal dan Barcelona itu tidak mensia-siakan peluang untuk muncul wira ­dengan gol kemenangan pada minit ke-121. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI